Ilmu dikongsi bersama. Moga soalan2 bersertakan jwpn tentang puasa kat bwh ni dpt difahami semue org. Selamat berpuase semue!!!
Soalan: Seseorang yang terdengar azan Subuh ketika dia sedang bersahur, adakah sah puasanya?
Jawapan: Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada di dalam mulutnya.
Soalan: Seseorang yang mengalami keadaan air liur yang terkumpul di dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya?
Jawapan: Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.
Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa?
Jawapan: Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada Allah. Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud “Sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t. kepadanya”.
Soalan: Adakah sah niat puasa di malam 30 Syaaban sedangkan hati seseorang tidak berat sangka bahawa esoknya masuk Ramadhan?
Jawapan: Tidak sah niat tersebut.
Soalan: Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya?
Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut dengan dua sebab:
a. Kerana keuzuran dirinya sendiri
b. Kerana menjaga kesihatan anak
Keterangan:
a. Kalau berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada’ sahaja.
b. Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada’ dan fidyah sekadar 1 cupak beras untuk sehari.
c. Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qadha’ sahaja.
Soalan: Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqadha puasa untuknya?
Jawapan: Tidak boleh diqadhakan puasa kepada orang yang masih hidup.
Soalan: Apakah hukum bersahur?
Jawapan: Hukumnya sunat.
Soalan: Adakah sah berpuasa dengan tidak berbuka bila tiba waktunya?
Jawapan: Sah puasa tapi di galakkan mempercepatkan berbuka bila tiba waktu berbuka.
Soalan: Adakah pahala membaca Al-Quran dan bersedekah di bulan Ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain?
Jawapan: Pahala membaca Al-Quran dan bersedekah di bulan Ramadhan adalah berganda.
Soalan: Hukum puasa orang yang terkentut dalam air?
Jawapan: Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.
Soalan: Apakah hukum meninggalkan puasa kerana bersalin?
Jawapan: Hukumnya wajib, jika perempuan yang bersalin itu ada darah nifas dan wajib qadha’ pada bulan-bulan yang lain tetapi sekiranya perempuan yang bersalin itu tiada darah nifas maka harus dia meninggalkan puasa kerana menjaga kesihatannya dan wajib qadha’ pada bulan-bulan yang lain.
Soalan: Seseorang sedang berpuasa Ramadhan, tetapi di himpit pelbagai masalah dan gangguan emosi sehingga benar-benar membuat perasaannya marah sedemikian rupa dan terbawa sampai dirumah menjelang waktu magrib. Setelah sedar Ia merasa puasanya seharian tidak berguna dan sudah kehilangan pahala. Ia berbuka dan telah batallah puasanya. Bagaimana dengan hal ini?
Jawapan: Sayang orang tersebut membatalkan puasanya. Padahal, andaikata saja ia menuruti saranan Rasulullah SAW untuk segera mengambil wudhu dan beristighfar, tentu hal itu dapat meredakan amarahnya. Kalau kita marah-marah, maka puasa kita tetap sah, hanya saja nilainya jadi berkurang. tetapi tetap jauh lebih baik meneruskan berpuasa daripada membatalkannya.
Apakah kerana kita tak dapat khusyu’ dalam solat lantas kita tak mahu solat? Sedangkan solat itu wajib. Sebuah perintah untuk melaksanakan kewajiban itu wajib dipenuhi, kalau sudah dipenuhi maka gugur sudah kewajiban itu, tetapi soal diterima atau tidak, sempurna atau tidak, itu merupakan hak prerogatif Allah SWT untuk menentukannya. Jadi, penuhi saja kewajiban itu semampu kita, kemudian menyerahkannya pada Allah. Kerana orang tersebut sudah membatalkan puasanya maka ia wajib menggantinya di hari lain dan di bulan lain.
Soalan: Saya berpuasa tetapi tidak dapat terlepas daripada melihat aurat wanita kerana setiap hari dipersekitaran pejabat saya para wanitanya selalu berpakaian singkat dan mendedah aurat. Kerana saya berada dipersekitaran sedemikian itu secara langsung atau tidak langsung saya hampir setiap saat melihatnya, saya berusaha untuk menghindari tapi sukar kerana ia bersangkutan dengan pekerjaan saya yang selalu berhubungan dengan pelanggan yang pelbagai kerenah pakaiannya.
Jawapan: Kalau dalam diri kita sudah ada keimanan dan ketaqwaan, maka diri kita tidak akan terpengaruh dengan hal-hal yang demikian, kerana yang demikian itu bagi orang-orang yang beriman merupakan ujian.
***7:26***
26. Hai anak Adam [530], sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup ‘auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa [531] itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.
Soalan: Apakah hukumnya jika seseorang itu , setelah bangun sahur di bulan puasa dan menunaikan solat subuh tidur untuk satu jam, bila bangun mendapati dirinya berhadas besar disebabkan mimpi? Adakah batal puasanya untuk hari itu atau bagaimana?
Jawapan: Untuk makluman, hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasanya.
Soalan: Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari bulan Ramadan, kemudian saya mandi junub. Adakah mandi junub tersebut membatalkan puasa saya?
Jawapan: Bermimpi tidak membatalkan puasa. Ia bukan urusan manusia. Lagipun dia tidak bermaksud untuk bermimpi. Oleh itu dia tidak perlu berbuka. Keluarnya mani ketika bermimpi tidak membatalkan puasa, begitu juga dengan mandi junub, kerana mandi junub itu bertujuan untuk membersihkan diri, sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah ke atas orang Islam. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi), puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja.
Firman Allah: "Dan tidak ada dosa ke atasmu terhadap apa yang kamu tersilap, tetapi (yang ada dosa ialah) apa yang disengajakan oleh hatimu."(Al-Ahzab: 5) Sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya Allah mengampuni dosaku dan dosa umatku yang melakukan kesilapan atau terlupa." (Tabarani)
Soalan: Bolehkah kami memakan ubat untuk melewatkan haid pada bulan Ramadhan?
Jawapan: Wanita yang didatangi haid letih badannya dan tidak tenteram perasaannya. Kalau dia berpuasa pun, puasanya tidak akan diterima dan tidak akan diberi pahala. Tidak berdosa wanita yang datang haid membuka puasanya dan hendaklah menggantikannya pada hari-hari yang lain sebanyak mana puasa yang ditinggalkan itu. Pada pendapat saya sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabii dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat untuk melewatkan haid agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang orang alim dan pakar, atau nasihat doktor mengenai ubat itu. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan puasa dan akan diterima Allah, insya-Allah.
Soalan: Adakah niat puasa sunat 6 hari bulan Syawal boleh disekalikan dengan puasa Qadha?
Jawapan: Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha’. Imam Syafi’iy (al Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `Innamal a’malu binniat (setiap amalan dgn niat) hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha’ dan puasa tatawwu’ (sunat2). Imam Jalaluddin as Syuyuti (al Isybah) juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.
Soalan: Bilakah kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh berpuasa? Adakah had umur tertentu yang digariskan oleh syarak?
Jawapan: Agama Islam menjaga sifat semula jadi manusia. Kanak-kanak harus dilatih sejak kecil lagi supaya mahir melakukan ibadat dan taat kepada Allah. Rasulullah bersabda: "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan rotanilah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun." (Imam Ahmad dan Abu Daud).
Puasa juga dikira ibadat dan kewajipan seperti sembahyang. Kita wajib melatih anak-anak menunaikan ibadat ini. Tahap umur berapakah latihan ini mesti dilakukan? Tidak semestinya semasa umur kanak-kanak itu tujuh tahun kerana puasa lebih susah daripada sembahyang. Terpulanglah kepada kemampuan kanak-kanak tersebut. Jika bapa atau penjaganya mendapati kanak-kanak itu sudah mampu berpuasa, bolehlah dia melatih anaknya berpuasa beberapa hari pada setiap bulan, setahun demi setahun. Misalnya dalam setahun dia melatihnya berpuasa sebanyak tiga hari, di tahun yang lain selama seminggu, seterusnya dua minggu dan sehingga sebulan penuh. Apabila dia telah baligh, dan ditaklifkan berpuasa, dia tidak lagi susah untuk mengerjakan puasa kerana sudah biasa dan mahir sebelum ini. Inilah cara Islam melatih kanak kanak sejak dari kecil lagi dengan adab-adab Islam dan kewajipan-kewajipannya.
Soalan: Bolehkah menggunakan wangian pada bulan Ramadan?
Jawapan: Hukumnya harus. Ia tidak merosakkan puasa.
Soalan: Apakah hukumnya orang yang meninggalkan puasa?
Jawapan: Hukum-hukum meninggalkan puasa terbahagi kepada empat :
1. Wajib qadha
2. Wajib qadha dan wajib membayar fidyah
3. Tidak wajib qadha
4. Tidak wajib qadha tetapi wajib membayar fidyah
Wajib qadha dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa kerana:
-Kedatangan haid dan nifas
-Sakit yang membahayakan
-Tersangat lapar dan dahaga
-Dalam perjalanan
-Mabuk
-Mengandung
-Menyusukan anak [ Dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-masing]
Wajib qadha dan membayar fidyah dikenakan khusus kepada :
-Orang yang mengandung
-Orang yang menyusukan anak [Dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak masing-masing.]
Tidak wajib qadha khusus kepada orang yang meninggalkan puasa kerana :
-Kafir (tidak beragama Islam)
-Kanak-kanak.
-Gila.
Tidak wajib qadha tetapi wajib membayar fidyah dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa kerana :
-Sakit yang tidak ada harapan sembuhnya.
-Tua yang tidak kuasa (daya) berpuasa.